Posts tagged ‘jasad’
Menggali Potensi Diri Secara Bertahap
Setiap insan diberikan potensi yang berbeza-beza. Secara umumnya, 3 potensi asas yang dimiliki oleh setiap insan ialah akal, jiwa dan jasad. Ketiga-tiga potensi ini harus diseimbangkan peningkatannya supaya seseorang dapat mencapai tahap insan yang syumul. Setiap orang mempunyai kecenderungan tersendiri terhadap sesuatu bidang. Daripada kecenderungan inilah sesebuah potensi itu dilatih dan diasah.
Jika kita sebut soal remaja dan pemuda, potensi yang dimiliki adalah luar biasa jika diasah dengan penuh tekun dan adil. Mungkin potensi itu belum sampai ke tahap kematangannya tetapi bibit-bibit perkembangannya harus dilihat dan diteliti supaya kita tidak mengabaikan potensi tersebut. Tambahan pula jika kita seorang yang sentiasa concern tentang permasalahan remaja. Kita risau melihat potensi-potensi tersebut disalah guna dan merosakkan diri mereka. Jadi kita harus bijak dalam mengembangkan potensi-potensi diri ini secara bertahap dan sihat.
Sebagaimana seorang bayi baru lahir bermula dengan merangkak dan lama-kelamaan bertatih dan berjalan dan kemudiannya berlari-lari…Kemudian dia sudah pandai melompat dan lompatannya pun lama kelamaan menjadi semakin tinggi. Daripada dia tidak tahu membaca, dia mengenal huruf, kemudian dia mengenal sukukata, mengenal perkataan dan sudah boleh menulis. Lalu daripada situ dia belajar berkata-kata yang pada mulanya kurang jelas dan kurang difahami, lama kelamaan dia menjadi seorang pemidato yang hebat. Itulah analogi potensi yang jelas kelihatan dalam kehidupan kita sebagai seorang insan.
Jadi, tidak wajar kita merendah-rendahkan seorang remaja kerana kelemahan yang kita lihat dalam dirinya, bahkan kita harus sentiasa optimis dalam membentuk potensi tersebut dan mengarahkannya ke tempat yang sepatutnya. Semangat yang dimiliki oleh golongan remaja sangat kuat dan hebat bahkan akan menjadi luar biasa jika disuntik dengan elemen-elemen Rabbani. Di sinilah perlunya seorang guru atau da’i yang bijak dalam menilai seseorang secara adil daripada segenap segi. Jika tidak, kita akan membinasakan diri kita dan diri remaja. Jangan hanya bercakap tentang kerosakan sedangkan kita tidak melakukan apa-apa untuk memperbaiki kerosakan tersebut.
Inilah antara intisari hadith yang disebut oleh Rasulullah SAW, menceritakan bahawa Manusia itu bagaikan bahan galian, yang terbaik di masa jahiliyyah akan menjadi yang terbaik di dalam Islam setelah dia memahami. Ertinya potensi yang dimiliki oleh para sahabat ketika jahiliyyah terus disinergikan setelah mereka memahami islam sehingga mereka dinobatkan sebagai yang terbaik.
Dalam mengembangkan potensi-potensi ini, kita harus memahami bahawa tidak dapat tidak ia mesti melalui sebuah proses yang bertahap. Jika tidak, kita akan kecewa kerana lambatnya berkembang potensi seseorang. Seorang murid darjah satu harus melalui beberapa level alam persekolahan dan tidak harus dihantar terus ke universiti pada tahun keduanya dengan alasan kita nampak potensinya. Nanti dia akan tertekan kerana tidak melalui proses yang sihat, tidak merasai alam kanak-kanak yang penuh dengan pembelajaran secara tidak langsung. Boleh dikatakan bahawa kita terburu-buru jika berbuat demikian.
Biji benih yang baru sahaja kita tanam hari ini pun tidak boleh lagi kita tuai pada hari esok, mungkin makan masa berbulan-bulan, bertahun-tahun untuk kita petik hasilnya. Itu belum sebut soal gangguan-gangguan parasit yang lain yang akan membuatkan lebih lambat kita dapat memetik hasilnya. Ini analogi yang mudah dan jelas rasanya.
Jadi sebagai kesimpulannya, setiap orang memiliki potensi tersendiri yang perlu diasah dan disinergikan supaya ianya tidak terabai tanpa perkembangan dan potensi itu terus berkubur. Dalam usaha mengembangkan potensi-potensi ini, kita memerlukan tahapan-tahapan yang subjektif tempohnya. mungkin bertahun-tahun atau mungkin beberapa hari sahaja. Yang penting jangan terlalu mendesak sehingga potensi terencat dan tidak sihat.
Sama-sama kita gali potensi dalam diri kita sebelum kita melihat orang lain. Semoga berjaya!!
Sama-sama kita hayati video di bawah:




