Bila Manusia Bertuhankan Nafsu
Tuhan ialah tempat kita mengadu segala-galanya. Dia tidak memerlukan kita namun kita sentiasa perlu kepadanya. Tanpa tuhan, tidak mungkin wujudnya makhluk. Sehebat-hebat ciptaan sehingga sekecil-kecilnya pasti ada yang menciptakan. Itulah sifat makhluk yang jauh sekali dapat disamakan dengan sifat tuhan. Kerana Dia tiada siapa yang ciptakan.
Dia wujud sejak azali dan tidak ada pengakhiran. Jika kita memahami ertikata Tuhan yang sebenar, maka tidak ada yang layak dijadikan tuhan melainkan Allah dan hanya Dia yang memiliki segala-galanya. Kita zalim apabila mengambil yang lain menjadi ‘tuhan’ pada istilah kita kerana kita tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dan bila manusia bertuhankan nafsu…
Hilanglah segala pertimbangan dan bermulalah era kehancuran sebuah ketamadunan. Bila nafsu dijadikan ikutan dan menjadi dasar pada setiap tindakan, akan tercalarlah sebuah kesucian fitrah yang wujud dalam diri manusia. Kita semua membaca akan kisah Kaum Lut, saat mereka mengambil jantina sejenis sebagai pasangan, dan menyanjung perbuatan mereka. Dalam ertikata lain mengambil keinginan mereka sebagai ‘tuhan’ dan menyalurkan setiap tindakan mereka sebagaimana yang dikehendaki oleh ‘tuhan’ mereka. Maka binasalah mereka dalam kemurkaan Tuhan.
Dalam sedar tidak sedar kita juga bertuhankan nafsu. Saat mata dibutakan daripada melihat ketenangan dalam Ibadah dan merasa kagum dengan nikmatnya maksiat. Saat kita ingin melakukan segala tuntutan nafsu dan mengetepikan segala perintah Tuhan. Maka siapa yang kita jadikan Tuhan ketika itu? Apabila Tuhan melarang kita mendengar sesuatu atau melihat sesuatu, siapakah ‘tuhan’ di hati kita saat kita masih merasa tenang mendengar dan melihat larangan-Nya?
Kita merintih “Tuhan…Tuhan…Tuhan…” saat kita dalam kesusahan. Kita melupakan Tuhan saat kita merasa bahawa kita tak perlukan-Nya sedangkan kita sendiri datang daripada-Nya dan akan kembali pada-Nya. Kita bercerita bahawa Tuhan ada di mana-mana namun kita tidak merasakan apa yang kita katakan. Ketika Dia melihat segala-galanya dan mendengar segala-galanya, kita tidak pun melakukan segala-galanya kerana-Nya. Dan kita masih merintih “Tuhan…Tuhan…Tuhan…”
Bila manusia bertuhankan nafsu, apa yang akan terjadi? Atau apa yang telah terjadi? Dan apa yang sedang terjadi?
Bila manusia bertuhankan nafsu, bayangkan apa yang akan berlaku pada dunia yang pemiliknya adalah Tuhan yang maha kuasa, Allah.
Bila manusia bertuhankan nafsu, apa jawapan yang akan diberi saat ditanya di Alam Kubur…”SIAPA TUHAN KAMU?”
Terima kasih Tuhan…Terima kasih kerana segala-gala-Nya.


assalamualaikum…..
berbicara tentang permasalahan manusia kini yang semakin bertuhankan nafsu kadangkala mampu membuatkan kita beristiqfar sendirian..dimanakah iman seseorang itu jika nafsu dijadikan tuhan??terfikir dek akal yang sejengkal ini,sampai bila umat Muhammad pada masa kini masih mahu meneruskan tradisi bertuhankan nafsu?wajarkah kita sebagai umat islam meneladani kelakuan sedemikian..?? Dimana letakknya Allah swt sebagai sang pencipta andainya nafsu dijadikan sebagai pengganti……renungkanlah dan gunakan anugerah yang diberi untuk mencari jawapan..
wassalam